DAP pecat Adun Pujut

KUALA LUMPUR - DAP telah memecat anggota Dewan Undangan Negeri Pujut di Sarawak iaitu Fong Pau Teck, demikian diumumkan oleh timbalan pengerusi DAP Tan Kok Wai.

Tan yang juga pengerusi jawatankuasa disiplin parti berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada tindakan Fong yang banyak kali mengingkari arahan parti, dengan itu beliau telah melanggar disiplin parti.

"Kegagalan Fong untuk membayar sumbangan bulanan yang mandatori kepada parti dan juga kegagalan menyelesaikan tunggakan hasil kenaikan dalam elaun bagi anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak, merupakan satu tindakan membelakangkan arahan parti," katanya.

Dengan itu, Tan berkata jawatankuasa itu mendapati bahawa Fong adalah contoh tidak baik bagi parti, dan tidak boleh dimaafkan dan dengan itu jawatankuasa disiplin telah membuat keputusan sebulat suara untuk memecat beliau daripada parti.

Fong diberi 14 hari untuk merayu secara rasmi terhadap keputusan parti.

Jika rayuan Fong ditolak, bilangan wakil DAP di Dewan Undangan Negeri itu akan berkurang daripada 12 kepada 11. DAP juga memenangi enam kerusi Parlimen di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke 13.

Sebelum itu pada September, anggota Dewan Undangan Negeri DAP bagi Luyang di Sabah, Hiew King Cheu meninggalkan parti dan meneruskan sebagai wakil bebas kerana tidak sebulu dengan pemimpin-pemimpin lain DAP di negeri itu.

Hiew menyatakan sokongan beliau kepada anggota Dewan Undangan Negeri Klias Datuk Lajim Ukin daripada PKR sebagai ketua barisan pembangkang di Sabah sementara partinya pula memilih anggota dewan undangan negeri Tamparuli Datuk Wilfred Bumburing. -Bernama
Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment