Bunuh 3 beradik: Remaja 16 tahun ditahan

ALOR SETAR 2 Dis. - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kematian tiga beradik perempuan dari Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, pelajar itu yang merupakan kenalan mangsa ditahan di rumahnya di Arau, Perlis kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

"Pelajar itu ditahan reman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Mayat Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong di sini pukul 3.45 petang Sabtu lalu selepas keluar dari rumah bersama dua adiknya, Puteri Nurul Akma, 3, dan Nur Izzati Husna, 12, kira-kira pukul 7.30 malam, Jumaat lalu.

Lebih memilukan, mayat Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna pula ditemui kira-kira pukul 4.50 petang semalam dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar, kira-kira 3.5 kilometer dari mayat Nor Syafikah Nadia ditemui.

Biarpun mereka ditemui mati lemas, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai bunuh.

Menurut Adzaman, pihaknya masih menyiasat sejauh mana hubungan pelajar terbabit dengan mangsa menerusi siasatan teliti melibatkan segenap aspek.

"Setakat ini polis sudah mengambil keterangan lebih 10 individu termasuk ahli keluarga dan rakan mangsa bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam ini," katanya. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131202/je_17/Kes-bunuh-3-beradik-Remaja-16-tahun-ditahan#ixzz2mJhxNGJT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment